Covid-19: Kuala Terengganu, Dungun kini zon merah

Kuala Terengganu: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengesahkan Kuala Terengganu dan Dungun dikategorikan sebagai zon merah Covid-19, hari ini.

JKNT melalui kenyataan di Facebook memaklumkan, Kuala Terengganu mencatatkan sebanyak 47 kes baharu positif Covid-19, manakala 45 kes di Dungun.

Katanya, daerah Besut dikategorikan sebagai zon jingga selepas mencatatkan 25 kes, manakala empat daerah iaitu Setiu, Kuala Nerus, Marang serta Kemaman masih dalam kategori zon kuning dan Hulu Terengganu masih mengekalkan sebagai zon Hijau.

“Berdasarkan situasi terkini pandemik Covid-19 dikeluarkan hari ini, sebanyak 27 kes baru, menjadikan 197 kes aktif dengan jumlah keseluruhan sebanyak 572 kes di seluruh negeri.

“Semua 197 individu yang disahkan positif berada dalam keadaan stabil dan dirawat di wad biasa yang dikhaskan untuk pesakit Covid-19, di Hospital Hulu Terengganu (HHT), Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Pesakit Covid-19 berisiko rendah (PKRC) Marang serta di PKRC ILKKM Kuala Terengganu,” katanya.

Mengulas lanjut, JKNT memaklumkan, ada 118 kes import B iaitu rentas negeri direkodkan di negeri ini dalam tempuh tujuh hari mulai Khamis lalu menyebabkan kes itu menghasilkan 59 kes penularan tempatan.

“Bagi membendung penularan tempatan dan menjaga Zon Hijau di negeri ini, individu yang memasuki Terengganu digalakkan hadir ke hospital dan klinik kesihatan berdekatan bagi menjalani proses penilaian risiko.

“Individu yang selesai menjalani ujian saringan di luar negeri ini diminta untuk menunggu sehingga keputusan ujian diperoleh sebelum membuat perjalanan ke negeri ini,” jelasnya.

Untuk memastikan keadaan pandemik Covid-19 di negeri ini terkawal, penduduk diingatkan sentiasa mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Sumber:hmetro

Be the first to comment on "Covid-19: Kuala Terengganu, Dungun kini zon merah"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*