Khai Bahar Dan Aina Mahu Cipta Keserasian

DUA figura ini memiliki kekuatan vokal yang cukup luar biasa. Masing-masing ada kelebihan dan keunikan tersendiri, lebih-lebih lagi ketika beraksi di atas pentas.

Siapa sangka, dua penyanyi bernama Khai Bahar dan Aina Abdul disatukan dalam sebuah karya baharu yang cukup romantis berjudul Nafas Cinta.

Lagu tulisan dan ciptaan mereka itu juga berjaya mendapat perhatian ramai sehingga dihujani pelbagai pujian di laman sosial termasuklah muzik video di Youtube yang kini mencecah lebih 500,000 tontonan.

Aina berkata, kerjasama yang terjalin tercetus selepas mereka berduet menyanyikan semula lagu Just Give Me A Reason dan ditayangkan di saluran YouTube masing-masing.

“Saya memang jarang ada ‘contact’ dengan penyanyi lain. Apabila Khai sudi buat ‘cover’ di YouTube, saya sangat gembira. Tidak sangka pula duet itu mendapat maklum balas sangat baik daripada peminat kami.

“Kemudian, Khai menjemput saya untuk menyanyi dengannya pada Konsert Minggu Ini Bersama Khai Bahar di RTM. Ketika itu, saya cakap kepada pengurus, alang-alang sudah berkenalan kita boleh buat satu lagu. Jadi, saya dan pengurus memberi idea itu kepada pihak Khai dan dia pun okay. Saya terus buat melodi lagu Nafas Cinta dan Khai pun berikan input untuk melengkapkan lagu ini. Jadi, melodi dan lirik lagu ini kami hasilkan bersama,” katanya.

Aina berkata, proses menghasilkan Nafas Cinta dipermudahkan walaupun rakaman dijalankan di Seremban, Negeri Sembilan.

“Bagi mencipta kererasian, bukan boleh terus dapat. Disebabkan itu Khai sanggup datang ke Seremban untuk rakaman. Pertama, Khai datang merakam demo dulu untuk kami belajar dan fahamkan melodi dan maksud lagu. Kali kedua baru buat rakaman sebenar. Jadi, ia ambil masa juga.

“Khai sangat membantu dan dia sangat menyokong. Walaupun saya masih baharu, tapi dia sangat merendah diri. Khai tidak kisah kena datang ke Seremban, tapi dia sangat memberikan kerjasama,” katanya.

Menurut Aina, sebagai permulaan kepada single duet mereka, dia enggan terus dengan karya yang berat meski mengetahui kemampuan vokal yang dimiliki Khai.

“Jika dilihat watak kami berdua ini masih baru berkenalan dan berjumpa. Jadi kalau kami nyanyikan lagu cinta yang berat bimbang masing-masing tak boleh nak bawa sebab perkenalan yang masih baru.

“Lagipun saya rasa karakter kami baru nak dipupuk. Lagu ini cukup mesra di telinga semua orang malah dekat dengan golongan remaja. Saya harap Nafas Cinta dapat diterima lebih ramai pendengar,” katanya.

Dalam pada itu, Khai, 26, atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin menyifatkan lagu Nafas Cinta sesuatu yang istimewa buat peminat.

“Sebelum ini ramai tertanya-tanya siapa rakan duet terbaharu saya. Apabila saya kongsikan dalam Instagram, semua tidak sabar menunggu lagu ini. Boleh dikatakan, ini adalah hadiah buat peminat yang sentiasa menyokong kerjaya kami.

“Saya berharap lagu ini dapat diterima baik dan boleh pergi lebih jauh. Pada masa sama, semoga duet saya dan Aina mampu membuatkan kalian jatuh cinta dengan lagu ini. Terima kasih kepada semua yang sentiasa memberikan sokongan kepada saya,” katanya.

Khai mengakui cukup bertuah berpeluang menjalin kerjasama bersama Aina selain mengagumi bakat besar dimiliki penyanyi lagu Semalam itu.

“Alhamdulillah, perancangan kami untuk menghasilkan projek ini dipermudahkan. Jika sebelum ini saya pernah berduet dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Siti Nordiana. Kali ini, saya bertuah kerana diberi peluang untuk berduet dengan Aina pula.

“Setiap rakan duet saya mempunyai keistimewaan dan aura masing-masing. Saya melihat setiap tawaran yang datang adalah kesempatan terbaik untuk memajukan diri. Bekerjasama dengan ramai orang membolehkan saya menimba pengalaman baharu,” katanya.

Menurut Khai, dia sudah bersedia sekiranya ada gosip yang mengaitkan dirinya dan Aina sedang menjalin cinta daripada warganet.

 

AINA baru berkenalan dengan Khai untuk membawa lagu cinta lebih berat.
AINA baru berkenalan dengan Khai untuk membawa lagu cinta lebih berat.

 

“Jika ada yang berkata demikian, saya rasa lagu ini berjaya diterjemahkan dengan baik kerana kami telah menghidupkan keserasian dalam lagu ini. Hakikatnya kami hanyalah rakan sekerja yang tidak menyimpan sebarang perasaan. Kami seronok dan mahu bekerjasama lagi jika diberi peluang kerana bersama Aina saya banyak belajar pengalaman baru,” katanya.

Walaupun projek duet ini mendapat maklum balas yang positif, namun ada juga pihak yang berasa kurang senang apabila dirinya digandingkan dengan wanita yang mungkin tidak menjadi pilihan peminat.

Khai berkata, sebagai penyanyi dia tidak mampu memuaskan hati sema orang malah setiap orang memiliki pendapat yang berbeza-beza.

“Kadang-kadang susah bila ada orang yang ingin menyatukan seseorang artis atau di mata mereka seseorang artis itu tidak sesuai bersama dengan saya. Saya akur dengan pendapat orang kerana setiap orang memiliki pendapat berbeza.

“Dalam hal ini, saya boleh nak ikut cakap orang bulat-bulat. Sebaliknya setiap gandingan duet yang saya jayakan saya lakukan sebaik mungkin, lebih-lebih lagi bersama Aina kerana saya mengagumi bakat luar biasa yang dimiliki. Dia adalah penyanyi yang mampu membuatkan orang tertunggu-tunggu untuk melihat persembahanya di kaca TV termasuklah saya,” katanya.

Bagi Aina pula, dia mengakui terkesan apabila ada pihak yang mempertikaikan gandingannya dengan penyanyi popular itu.

“Sebagai penyanyi

mestilah saya akan bertanya kepada diri sendiri. Adakah saya belum cukup bagus atau mencapai standard. Perkara itu selalu bermain di fikiran sedangkan lagu Nafas Cinta ini adalah karya yang saya sangat sayang.

“Saya jarang tulis lagu yang mesejnya positif. Kebanyakan single saya semuanya sedih-sedih. Jadi bila kerjasama ini hadir, ia sesuatu yang begitu bermakna. Namun, saya enggan melayan komen-komen negatif ini. Jika saya tersepit dengan perkara ini, saya tidak akan ke mana-mana. Saya mungkin akan terus berada di zon selesa saja.

“Saya juga enggan membiarkan pihak yang mempertikai rasakan dirinya menang apabila melihat saya sedih, sebaliknya saya dan Khai akan membuat sesuatu yang kami rasakan terbaik,” katanya

Sumber:Hmetro

Be the first to comment on "Khai Bahar Dan Aina Mahu Cipta Keserasian"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*